Bismillah...
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Langkah kaki ini makin lama makin laju di hadapan. Terkadang membuatkan aku menjadi alpa. Alpa dengan amanah dunia ini sehinggakan amanah akhiratku tergadai sedikit demi sedikit. Astaghfirullah... Astaghfirullah... Astaghfirullah... Itu silap aku.
Kehidupan sebagai pelajar. Punya jadualnya. Ditambah dengan gerak kerja persatuan. Makin mengisi kekosongan pada jadual itu. Namun, aku masih tewas dengan waktu ! Ruang bicaraku dengan al-Khaliq, Sang Pencipta semakin berkurang. Satu demi satu ku tinggalkan. Jika dulu, dhuhanya terjaga. Kini dhuhanya tergadai. Jika dulu, solatnya disaluti alunan zikir. Kini solatnya suram. Jika dulu solat sunat itu peneman setia. Kini solat sunat itu kejap ada kejap tiada. Astaghfirullah...
Tanpa disedari, sifat & perilaku diriku juga berubah sedikit demi sedikit. Aku masih dengan kesibukan itu. Sibuk memenuhi kehendak dunia, hingga kehendak Dia aku tinggalkan. Hubungan dengan sahabat sahabiah di sekeliling juga jadi dingin. Aku sedar. Cuma keegoan itu mengaburiku. Aku biarkan rasa rindu pada dakapan ukhuwwah. Pagi-pagi aku keluar ke kelas. Kemudian kerja berpersatuan diteruskan. Kadang-kadang tengah malam baru aku kembali ke sakan. Sahabat-sahabat semuanya dah tidur. Hari minggu juga aku hilang dari pandangan mata sahabat sahabiah. Jujur aku katakan. Aku rindu pada gelak ketawa mereka. Aku rindu saat berborak dengan mereka. Namun, aku katakan pada diri..." Takpe, dyeorang faham kau sibuk. Habis kerja nanti boraklah..."
Ego ! Aku biarkan sahabat sahabiah yang memahami diriku. Sedangkan aku sendiri lupa buat memahami diri mereka. Mereka juga insan yang punya hati dan perasaan sepertiku. Sudah tentu mereka rasakan apa yang aku rasakan. Sampaikan satu ketika, aku ditinggalkan di sakan seorang diri pada hari minggu. Sahabat-sahabat yang lain kembali ke rumah masing-masing. Lalu aku bersuara, "tinggal alang (gelaran bagiku) sorang2? huhu... sampai hati." Sahabat menjawab, "ala... kalau kami ada pun, alang takde dengan kami." Astaghfirullah... benar katanya ! Aku terdiam. Malu dengan diri sendiri. Kadang-kadang ada yang bertanya, "ha...baru balik. gi mana tadi?" Sambil tersenyum aku menjawab, "baru jumpa jalan balik...huhu." Cuba berseloroh, tapi hakikatnya aku malu...
Makin lama kesunyian makin dirasa. Saat aku jauh dari Tuhanku, saat itu juga sahabat-sahabat disekelilingku menjauhiku. Itu balasan buat diri yang alpa. Bila mana hati tidak tenang, gerak kerja berpersatuan juga terganggu. Amanah itu turut tidak terjaga. Tidak bisa dilaksanakan sebaiknya. Sehinggakan aku tidak membantu sahabat-sahabiah dari jurusan yang sama denganku dalam melaksanakan program yang dirancang. Aku lari dari melaksanakan tugasan yang diberi. Saat itu fikiranku bercelaru. Aku tahu aku bersalah. Tapi dalam masa yang sama aku biarkan egoku yang tinggi menguasai diri. Ah.. bukan salah aku seorang. Mereka pun salah, tak cuba faham aku. Bila berjumpa dengan sahabat sahabiah, aku cuba mengelak. Bila bertemu, aku menjadi sebak. Tak tertahan air mata. Di hadapan mereka aku menangis. Tapi ungkapan maaf dariku masih belum diucapkan pada mereka. Kerasnya duhai hati ! Astaghfirullah...
Aku tewas dalam menjaga hubunganku dengan Allah. Dan aku tewas dalam menjaga hubunganku dengan sahabat sahabiah disekelilingku. Benarlah... Jika kamu menjaga hubunganmu dengan Allah s.w.t., maka Dia akan menjaga hubunganmu dengan manusia yang laennya. Jika tidak, maka sebaliknya juga yang berlaku. Pengajaran buat diri.
Leburkan ego itu !!! Bila mana hatimu tidak diisi dengan cinta pada Sang Rabbi, maka cinta pada manusia juga berkurang. Hati bisa jadi keras dek kerana tiada curahan keimanan padanya. Solat itu penghubung keimanan. Maka laksanakanlah ia. Pesan ummi, "didik diri kamu. pujuk hati. memang kalau diikutkan kerja-kerja itu takkan pernah habis. tapi, solat itu bukannya lama. sekejap sahaja. kalau kamu boleh habiskan masa berjam2 dengan kerja-kerja kamu, takkan 5 minit untuk solat, berjumpa dengan Allah kamu tidak boleh?" Allahurabbi...
Sesibuk mana pun kamu dengan amanah dunia, amanah akhirat mesti dilaksanakan bersama. Amanah itu bakal dipersoalkan. Kedua-duanya sekali. Jika bukan di dunia, di akhirat kelak pasti dipersoalkan oleh Dia.
Allah s.w.t benar-benar sayang pada hamba-Nya. Saat aku alpa, dia hadirkan rasa sunyi dalam hatiku. Mula-mula aku tidak memahami maksud kesunyian itu ! Namun, bila mana Dia hadirkan insan-insan istimewa buat menasihatiku, aku tersedar. Kesunyian itu tarbiyah buat diri sebenarnya. Dia sedang menegurku. Dia sedang mendidikku. Jadi, semuanya terpulang pada diriku sekarang. Memperbaiki kesilapanku atau sebaliknya...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Segala Puji Bagi Allah...
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang <3
Ya Allah, Engkau Tuhanku
Tiada Tuhan selain Engkau
Engkau ciptakan aku
Dan aku hamba-Mu
Dan aku berada dalam janji-Mu menurut kemampuanku
Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang ku lakukan
Aku sedari nikmat-Mu kepadaku
Dan ku sedari akan dosa-dosaku
Ampuni aku...
Ampuni aku...
Ampuni Aku...
kerna sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa
kecuali Engkau...
0 comments:
Catat Ulasan