Imam Hambali II



HADIS-HADIS YANG DIHIMPUN DAN DISUSUN OLEH IMAM HAMBALI
Di atas telah kami huraikan, bahawa Imam Hambali menuntut dan mempelajari hadis-hadis Nabi s.a.w adalah sejak 16 tahun, dan selepas itu beliau sentiasa mencari, menuntut mempelajari dam menghafal hadis-hadis dengan rajin-serajinnya, sehingga ketika menjadi seorang alim besar dapat hafal di luar kepala sebanyak 1000 000 (sejuta) hadis, sebagaimana pernah dikatakan oleh Imam Abu Zur’ah.
Perlu dijelaskan pula bahawa Imam Hambali semenjak tahun179 atau 180 Hijrah, yakni semenjak mempelajari dan menuntut hadis-hadis Nabi s.a.w dari satu demi satu, beliau mencatat, menghimpun dan menyusunnya. Selanjutnya hadis yang telah dihimpun dan disusunnya tadi diterbitkan dengan nama-nama sahabat Nabi yang meriwayatkannya satu persatu. Contohnya, hadis-hadis yang diriwayatkan dari sahabat Abu Bakar Ash-Sidiq, yang telah didengar dan diterima oleh beliau dengan perantaraan orang-orang yang beliau pandang kepercayaan, semuanya lalu dihimpun menjadi satu fasal atau bab, dan yang diriwayatkan dari sahabat Umar bin Al-Khathab pun dihimpun dan disusun demikian juga, dan demikianlah seterusnya, sehingga hadis-hadis yang telah dihimpunnya dan disusunnya dengan cara sedemikian rupa itu menjadi beberapa jilid tebal, dan dinamakannya dengan: “Al-Musnad”. Kitab “Al-Musnad”, sepanjang penyelidikan para yang akhli, berisi 40.000 (empat puluh ribu) hadis, diantara yang sekian banyaknya itu, yang 10.000 (sepuluh ribu) hadis diriwayatkan dengan berulang-ulang. Jadi yang tidak berulang-ulang ada 30.000 (tiga puluh ribu) hadis.
Pada suatu saat Imam Hambali berkata kepada salah seorang puteranya yang bernama Abdullah, katanya: “Hafalkan lah olehmu “Al-Musnad” ini, kerana sesungguhnya ia akan menjadi imam (ikutan) bagi segenap umat”.

Diriwayatkan oleh Imam Abdullah bin Ahmad: “bahawa ayahku mengeluarkan Al-Musnad ini dari 700.000 (tujuh ratus ribu) hadis”. Dan diriwayatkan pula oleh Imam Hambali (seorang anak Imam Hambali), ia berkata: “Imam Ahmad bin Hambali mengumpulkan kami, saya sendiri, Saleh dan Abdullah dan beliau lalu membacakan “Al-Musnad” kepada kami -bertiga-, dan tidak ada orang lain yang mendengarnya, kemudian beliau berkata kepada kami: “Kitab ini sesungguhnya telah saya himpun dan saya telah memilihnya dari hadis-hadislebih dari 750.000 (tujuh ratus lima puluh ribu) hadis. Maka dalam segala sesuatu yang diperselisihkan oleh kaum muslimin dalam urusan hadis Rasullullah s.a.w hendaklah kamu kembali melihat kepadanya. Jika kamu telah mendapati didalamnya itulah menjadi alasan yang kuat (hujah), dan jika tidak ada maka tidaklah menjadi hujjah”.
Imam Abu Musa Al-Madani berkata: “Bahawa Imam Ahmad bin Hambali jika ditanya tentang urusan hadis Rasullullah s.a.w berkata: “Lihatlah olehmu didalam Al-Musnad. Maka jika ada didalamnya, itulah menjadi hujjah, dan jika tidak ada, maka tidaklah menjadi hujjah”.
Keterangan yang lebih lanjut tentang isi kitab “Al-Musnad”, adalah sebagaimana yang kami huraikan dibawah ini.

ISI KITAB AL-MUSNAD YANG DISUSUN OLEH IMAM HAMBALI
Untuk menelaskan keadaan yang sebenarnya tentang isi kitab “Al-Musnad” yang disusun oleh Imam Hambali itu,dengan singkat –sepanjang keterangan para ulama’ ahli hadis- adalah sebagai berikut :-

Kitab “Al-Musnad” adalah sebuah kitab hadis yang besar. Menurut penyelidikan para ulama’ ahli hadis, berisi 40.000 (empat puluh ribu) hadis. Hadis-hadis yang sekian banyaknya itu oleh Imam Hambali telah dinyatakan, adalah hadis-hadis yang telah dihimpunnya dan dipilihnya dari hadis-hadis yang telah didengar dan diterimanya sebanyak lebih dari 750.000 (tujuh ratus lima puluh ribu) hadis. Jadi hadis-hadis yang tersebut didalam “Al-Musnad” sebanyak 40.000 (empat puluh ribu) hadis itu adalah hadis-hadis yang telah dipilih oleh beliau dan yang telah dianggap sahih dan hasan oleh pandangan dan/atau penyelidikan beliau. Mengenai hal ini, sekalipun beliau tidak menyatakan dengan secara tegas, namun perkataan beliau sebagai yang tersebut diatas kepada puteranya, itu sudah menunjukkan erti bahawa semua hadis yang telah beliau riwayatkan dan yang telah disusun didalam kitab “Al-Musnad” itu pasti sudah dapat dipergunakan sebagai hujjah (alasan yang kukuh kuat) bagi para pemeluk agama Islam. Dari sebab itulah, maka sebahagian diantara para ulama’ ahli hadis berpendapat, bahawa semua hadis yang tersebut didalam kitab “Al-Munad” itu sahih dan hasan.
Al-Hafidl Abu Musa Al-Madini berkata dalam kitabnya “Khashaishul-Musnad” demikian: “Kitab ini -yakni Al-Musnad- pokok yang besar dan sumber yang kukuh bagi para ahli hadis. Dipilihkannya dari hadis yang banyak dan yang didengarnya dengan sempurna, lalu dijadikannya sebagai ikutan dan pegangan, dan dikala ada perselisihan -tentang hadis- sebagai tempat kembali dan tempat bersandar”. Selanjutnya beliau berkata: “Dan Imam Ahmad tidaklah mengeluarkan melainkan dari siapa-siapa yang telah dipandangnya kukuh benarnya dan agamanya, bukan orang yang tercela dalam kepercayaannya”.

Tentang jumlah hadis yang tersebut dalam “Al-Musnad”, oleh Ustaz Muhammad Abdul Aziz Al-Khuli dinyatakan didalam kitabnya “Miftahus-Sunnah” : Bahawa dari jumlah 40.000 hadis itu yang diriwayatkan dengan berulang-ulang ada 10.000 hadis. Dan oleh Ustaz Ahmad Muhammad Syakir dalam kitabnya Syarah “Alfiyyah As-Sayuti” dinyatakan : Bahawa isi kitab Al-Musnad itu tidak kurang dari 35.000 hadis dan tidak lebih dari 40.000 hadis.
Inilah sekadar riwayat tentang isi kitab “Al-Musnad” yang dihimpun dan disusun oleh Imam Hambali.

KITAB-KITAB KARANGAN IMAM HAMBALI
Imam Hambali, kecuali mempunyai “Al-Musnad”  sebagai yang tertera diatas tadi, juga mempunyai beberapa kitab yang telah disusun dan direncanakannya, yang isinya sangat berharga bagi masyarakat umat yang hidup dimasa kemudian beliau. Diantara kitab-kitab itu -menurut riwayat- adalah sebagai berikut :-

  1. Tafsir “Al-Quran”, tebal 120.000
  2. Kitab “An-Nasikh” wal-Mansukh”
  3. Kitab “Al-Maqaddam wal-Muakh’khar fil-Quran”
  4. Kitab “Jawabatul-Quran”
  5. Kitab “At-Tarikh”
  6. Kitab “Al-Manasilul-Kabir”
  7. Kitab “Manasikus-Shagir”
  8. Kitab “Tha’atur-Rasul”
  9. Kitab “Al-ILLaL”
  10. Kitab “Al-Wara’i”
  11. Kitab “Ash-Shalah”

Dan lain-lain kitab yang berupa risalah.
Kitab-kitab itu semuanya kiranya belum dikenal dan belum diketahui oleh umumnya kaum Muslimin di Indonesia, hanya yang pernah kami ketahui selama ini, selain kitab “Al-Musnad” tebal 6 jilid besar, ialah kitab “Al-Wara’i” dan kitab “Ash-Shalah”.

Imam Ibnu-Jauzy seorang alim besar pernah menyatakan dengan panjang lebar, selain itu beliau menulis yang ertinya “Imam Ahmad bin Hambali adalah seorang yang hafal Al-Quran diluar kepala, mengerti tafsirnya dengan luas, seorang yang hafal bepuluh ribu hadis Nabi, tiga puluh ribu hadis yang telah dihimpun dan disusunnya ialah di dalam “Al-Musnad” yang besar itu,dia seorang yang mengetahui benar akan banar akan rijal (nama orang-orang yang meriwayatkan hadis) seorang ahli tarikh, seorang yang cukup mengerti tentang bernacam-macam ilmu pengetahuan agama, dan termasuk diantara golongan ulama’ besar yang luas ilmunya. Dia seorang pengarang yang terkemuka dan dalam bahasa Arab, ia sangat pandai serta luas, dan ia pernah berkata “saya menulis ilmu bahasa Arab lebih banyak daripada yang pernah ditulis oleh Amr Asy-Syaibani” : dan ia adalah seorang yang memang susah dicari bandingannya”.
Kesimpulannya, kalau kita inagt akan kata-kata Imam Ibnul-Jauzy ini jelaslah bagi kita bahawa Imam Hambali adalah seorang yang istimewa, kecuali tergolong orang yang alim besar, juga termasuk pengarang dan penulis terkemuka dimasanya, dan dengan demikian barang tentu beliau tidak sedikit mempunyai karangan-karangan yang berharga.

TINGKATAN HADIS-HADIS YANG DIHIMPUN OLEH IMAM HAMBALI
Baik juga kiranya kalau disini dihuraikan sama sekali tentang tingkatan hadis-hadis yang dihimpun dan disusun oleh Imam Hambali dalam “Al-Musnad”, menurut sebagaimana yang pernah diterangkan oleh para ulama’ ahli hadis yang pernah menyelidikinya.

Menurut penyelidikan Imam Ibnul-Jauzy, bahawa hadis yang maudhu’ (palsu) didalam “Al-Musnad” , ada lima belas hadis. Dan menurut penyelidikan Imam Al-Iraqi bahawa hadis yang maudhu’ (palsu) didalam “Al-Musnad” hanya sembilan hadis. Kemudian oleh Imam Al-Asqallani dinyatakan bahawa didalam “Al-Musnad” tidak didapati hadis yang tidak ada asalnya, melainkan tiga atau empat hadis.
Perkataan “tidak ada asalnya” itu bererti “tidak ada sumber yang asli” atau dusta atau palsu. Tetapi menurut penyelidikan Imam Ibnu Taimiah tidaklah sedemikian. Beliau ini menjelaskan bahawa mengenai syarat-syarat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad didalam “Al-Musnad” itu tidaklah didapati hadis yang diriwayatkannya dari orang yang terkenal “berdusta” -sepanjang penyelidikan dan pemeriksaan beliau- , meskipun didalamnya ada diantara mereka itu yang dha’if (lemah) riwayatnya dan kepercayaannya.

Selanjutnya Imam Ibnu Taimiah menyatakan lagi demikian: “bahawa tidak semua hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad didalam “Al-Musnad” itu dapat dipergunakan hujjah bagi beliau, kerana beliau itu sekadar meriwayatkannya sahaja, dari apa yang telah dirawayatkan oleh para ahli ilmu, dan cara meriwayatkannya dari para guru beliau, baik yang sahih mahupun yang dha’if (lemah).
Imam As-Sayuthi menerangkan dalam kitabnya “Al-Jami’ul-Kabir”, antara lain: “semua apa (hadis) yang ada didalam Musnad Imam Ahmad itu dapat diterima, kerana -hadis-dha’if yang ada didalam Musnad itu-bertingkatan hampir hasan”.

Dengan huraian-huraian sebagai yang tertera itu, kita dapat mengambil kesimpulan, bahawa hadis-hadis yang tersebut didalam kitab “Al-Musnad” itu diantaranya ada yang masih menjadi pembicaraan bagi para orang yang ahli hadis, kerana ada diantaranya yang lemah, yang sangat lemah, dan mungkin juga yang palsu.

Imam Al-Haitsami berkata: “bahawa kitab “Al-Musnad” Imam Ahmad itu sebaik-baik kitab sahih daripada yang lainnya, tidak ada satu kitab “Musnad” yang dapat menyamai (membandingi) nya, baik banyaknya mahupun susunannya”.
Berhubung dengan keterangan-keterangan dari para ulama’ ahli hadis sebagai yang tersebut, maka perlu dijelaskan tentang sebab-sebabnya, sepanjang penyelidikan para ulama’ yang ahli hadis. Adapun sebab-sebabnya dalam kitab “Al-Musnad” itu kemasukkan atau hingga terdapat hadis-hadis yang maudhu’ atau palsu, kerana putera Imam Ahmad sendiri yang bernama Abdullah, menambah beberapa hadis atau riwayat yang tidak diketahui oleh beliau sendiri, lalu dikumpulkan dan disusun didalamnya menjadi satu dengannya.

Selain itu, Imam Al-Quthai’i telah menambah pula beberapa riwayat hadis lainnya, yang tidak diketahui pula oleh Imam Hambali. Dengan sebab itulah, maka didalam Al-Musnad lalu terdapat beberapa riwayat hadis yang maudhu’atau palsu dan dusta. Tentang ini bagi orang yang belum menyelidiki lebih jauh dan belum menyelami lebih dalam, sudah tentu timbul sangkaan bahawa riwayat-rawayat yang maudhu’ itu berasal dari rawayat yang diriwayatkan oleh Imam Hambali sendiri dalam “Al-Musnad”nya, padahal sebenarnya bukan dari beliau.

Dan sekarang, walau dari mana juga asalnya “Al-Musnad” itu sampai kemasukan hadis-hadis yang maudhu’ (dusta-palsu), namun kitab itu adalah sebuah kitab hadis yang besar dan bermutu, dan bagaimana pun juga termasuk suatu kitab hadis yang mu’tabar.
Maka bila mana kita mengetahui benar-benar akan hadis-hadis yang maudhu’ atau riwayat-riwayat yang dusta didalam kitab “Al-Musnad” haruslah kita jauhi dan janganlah kita pergunakan menjadi hujjah dalam urusan agama. Kita masing-masing haruslah sedar, bahawa Imam Hambali tidak mungkin jadi dengan sengaja meriwayatkan hadis-hadis yang maudhu’ itu. Adapun hadis-hadis yang da’if atu sangat-sangat da’if itu memang mungkin jadi dengan sengaja beliau masukkan kedalam “Al-Musnad”, kerana hadis ini bagi beliau masih dapat dipergunakan dalil- atau alasan didalam agama, asal tidak bertalian dengan hukum-hukum halal dan haram, sebagaimana beliau sendiri telah menyatakan, yang ertinya: “Apabila adanya hadis itu didalam urusan halal dan haram,kami berkeras! Dan apabila adanya hadis didalam urusan lainnya, kami permudahkan”.

Yakni bila dalam urusan halal dan haram, maka beliau tentu mengambil atau mempergunakan hadis yang kuat dan bila dalam urusan lainnya mungkin juga beliau mengambil atau mempergunakan hadis yang lemah.

PARA ULAMA’ YANG MENSYARAH, MENGIKHTISAR DAN MENTERJEMAHKAN ISI KITAB AL-MUSNAD IMAM HAMBALI
Oleh kerana kitab Al-Musnad Imam Hambali itu satu-satunya kitab hadis yang besar, maka sekalipun diantara isinya da juga hadis-hadis yang masih diperselisihkan, namun kitab itu termasuk suatu kitab hadis yang tinggi nilainya. Dari sebab itulah, maka tidak sedikit diantara para ulama’ ahli hadis yang mengambil perhatian dengan sebesar-besarnya terhadap isinya, yakni diantara mereka itu yang menyusun dengan cara menertib dan mengatur bab-babnya  atau fasal-fasalnya dengan susunan yang tertib dan rapi. Adapula yang mensyarah dan memberikan penjelasan tantang erti hadis-hadisnya dengan penjelasan yang agak panjang, dan adapula yang mengikhtisarkan atau meringkaskan isinya. Disamping itu ada pula sebahagaian ulama’ yang menyusun atau mengatur dan menghimpun rijal (orang-orang)nya yang menjadi sanad perawi hadis-hadis yang tersebut didalamnya. Adapun diantara mereka itu (sepanjang riwayat) adalah sebagai berikut :-

1.    Imam Abu Amr Muhammad bin Abdul Wahid, beliau ini mengumpulkan lughat-lughat yang gharib (jarang terpakai) yang tersebut didalam kitab “Al-Musnad”, dan beliau ini wafat pada tahun 345 Hijrah.

2.    Imam Sirajuddin bin Amr bin Ali, yang terkenal dengan nama Ibnul-Mulqi. Beliau ini mengikhtisar (meringkas) kitab “Al-Musnad”, dan beliau ini wafat pada tahun 805 Hijrah.

3.    Imam Abu-Hasan, Muhammad bin Abdul-Hadi As-Sindi. Beliau ini mensyarah (menjelaskan dengan cara panjang) kitab “Al-Musnad”, dan beliau ini wafat pada tahun 1139 Hijrah.

Kitab syarah ini lantas dari besarnya, maka oleh Imam Zainuddin Umar bin Ahmad Asy-Asyamma’ Al-Halabi diringkas (diikhtisar) dan dinamakan “Darrul-Muntaqad”.

4.    Imam Muhammad bain Muhammad Al-Jazari. Beliau ini menyusun adanya rijal (orang-orang) yang menjadi sanad hadis-hadis yang tersebut didalam kitab “Al-Musnad”: kitabnya dinamakan “Al-Musnadul Ahmad”, dan beliau wafat pada tahun 834 Hijrah. Dan beliau ini juga merencanakan sebuah kitab yang dinamakan “Al-Maqshadul-Ahmad”, pula sebuah kitab yang lain lagi yang dinamakan “Al-Mash’adul-Ahmad”.

5.    Imam Ali bin Husain bin Urwah, yang terkenal dengan nama Ibnu Zaknun. Beliau ini menyusun dengan tertib akan bab-bab dalam kitab “Al-Musnad”, dan kitabnya dinamakan “Kawakibub-Darari”, dan disampinanya disertai dengan syarah (penjelasan)nya, tebalnya 120 jilid. Beliau ini wafat pada tahun 837 Hijrah.

Demikianlah singkatannya rawayat diantara para ulama’ besar yang mengambil perhatian atas kitab “Al-Musnad” Imam Hambali dengan jalan mensyarah, mengikhtisar mentertibkan bab-babnya dan menyusun rijal hadisnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa itu 'TARBIYAH' ?

Kesunyian Itu Tarbiyah Buat Diri...

Tiga Golongan Manusia